Tuesday, March 8, 2011

Syarat menjadi pemimpin baik, terpuji

Syarat menjadi pemimpin baik, terpuji

RASULULLAH bersabda maksudnya: "Apabila tiga orang sedang bermusafir,
mereka hendaklah melantik salah seorang menjadi ketua.
" (Hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Said dan Abu Hurairah).

Hadis itu membuktikan perlunya ada pemimpin untuk mengendalikan keluarga,
syarikat, persatuan, masyarakat dan negara. Pemimpin wajib ditaati tetapi
dalam Islam, taat setia itu bersyarat.

Pemimpin mempunyai tanggungjawab mengawal, mengurus dan mentadbir individu
dalam jagaannya, sambil menjadikan diri sebagai teladan.

Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: "Tiap-tiap seorang daripada kamu
adalah pemimpin. Setiap kamu bertanggungjawab terhadap mereka yang terletak di bawah pimpinan kamu."

Saidina Abu Bakar dalam ucapan dasar ketika dilantik menjadi khalifah Islam
pertama berkata: "Taatilah aku selama aku mentaati Allah dan rasul-Nya.
Apabila aku menderhakai Allah dan rasul-Nya, maka tidaklah wajar bagi kamu mentaati aku."

Apa yang lebih utama pada diri seorang pemimpin ialah akhlak yang baik seperti
cara berkomunikasi dengan orang bawahan. Islam meragui pemimpin yang tidak mempunyai pekerti terpuji.

Menurut Islam, untuk menjadi pemimpin yang baik, seseorang itu harus mematuhi beberapa syarat.

•  Memelihara hubungan baik dengan Allah sesuai dengan firman yang bermaksud:
"Dan ingatlah Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkanuntuk beribadah kepada-Ku.
" (Surah al-Zariyat, ayat 56).

•  Memelihara hubungan baik sesama manusia sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah
kamu bercerai berai." (Surah Ali Imran, ayat 103)

•  Harus mempunyai sifat terpuji dalam diri, seperti berilmu, bermoral, adil, berani,
tegas tetapi bertimbang rasa, berfikiran rendah diri, bijaksana, pemurah dan pemaaf.

•  Memelihara hubungan baik dengan alam sekitar, binatang dan tumbuhan sesuai dengan
hadis Rasulullah yang bermaksud: "Kasihanilah setiap makhluk bumi semoga kamu dikasihi mereka di langit."

Setiap pemimpin bertanggungjawab menentukan komunikasinya dengan anggota bawahan sentiasa terkawal dan tidak menyimpang dengan suasana yang menyulitkan keadaan.

No comments:

Post a Comment