Monday, February 21, 2011

MELAWAN SIHIR CINTA

Sihir adalah perbuatan yang berkaitan dengan jin yang menyebabkan perubahan secara mendadak tanpa diketahui sebabnya. Sihir juga merupakan perantaraan di antara tukang sihir dan syaitan yang mensyaratkan si tukang sihir tersebut agar melakukan perbuatan haram dan syirik di samping menyerahkan segala ketaatan kepadanya demi memperoleh bantuan dan pertolongan yang dihajatkan.


Cinta termasuk dalam sihir yang boleh terjadi pada sesiapa sahaja. Sihir cinta kadang-kadang lebih menyayat hati – dia cantik tetapi tiada siapa yang ingin berkahwin dengannya. Kalau berkahwin pun tidak lama sudah bercerai. Apa yang tidak kena?

Apabila seseorang itu suka bersendirian, pendiam, tidak suka berjumpa dengan orang, fikirannya meracau, selalu juga pening, lesu dan tidak bermaya serta hilang semangat tanpa ketahui punca sebenarnya, ini dinamakan sihir membuat orang tidak suka.

Sihir menahan pernikahan itu pula adalah apabila seseorang menghadapi pening kepala yang berterusan, sekalipun telah mengambil ubat tapi dada terasa sesak terutama selepas Asar hingga tengah malam.

Dia melihat orang yang datang melamar sebagai bermuka hodoh. Fikirannya kerap melayang, apabila tidur selalu gelisah dan tidak nyenyak, perut juga selalu berasa sakit, demikian juga di bahagian bawah tulang punggung.

Lindungi diri
Bagaimana sihir ini boleh berlaku? Mengikut seorang pengamal perubatan Islam dalam laman webnya, jin akan ditugaskan melakukan satu di antara dua:
• Masuk ke dalam tubuh wanita berkenaan menyebabkan dia benci kepada setiap calon suami yang melamarnya.
• Menukarkan wajah lelaki yang ingin melamarnya hingga berwajah buruk.

Kita semua berhak melindungi diri daripada terkena sihir. Ibarat kita semua berhak memandu kereta juga berhak mengelak dari sebarang tragedi. Kita berhak hidup di dunia ini justeru berhak menangkis dan menepis semua perbuatan ghaib yang jahat daripada menimpa diri kita. Lindungilah diri kita bersama dengan;
• Banyak-banyakkan berzikir dengan zikir yang diwariskan oleh Nabi Muhamad S.A.W umpamanya Zikir Al-Mathurat.
• Menyebut nama Allah dalam setiap pekerjaan.
• Menyebut nama Allah setiap kali masuk ke tempat gelap.
• Jangan menyakiti binatang seperti anjing dan kucing.
• Jangan tidur bersendirian, jika terpaksa berwuduklah dan membaca doa sebelum tidur.
• Jangan membuang air kecil ke mana-mana lubang atau takungan air.
• Jangan membunuh ular yang masuk ke dalam rumah sewenang-wenangnya.
• Jangan mendedahkan aurat kasar di dalam rumah dan jangan selalu bersolek dan berhias kerana ditakuti timbul rasa ghairah jin jantan terhadap wanita berkenaan.

GAMBARAN HARI KIAMAT

 1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.


2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.


4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

a- Pemimpin yang adil.

b- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

c- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

d- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

e- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.

f- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

g- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

15. ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

16. Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

a- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

b- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

c- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
i Sedekah/amal jariahnya.
ii Doa anak²nya yang soleh.
iii Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

BUKTI NABI MUSA MEMBELAH LAUT

September 2010..
akhirnya para saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil. kajian yang dilakukan oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.



bagi membuktikannya, satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalaman ke atas air sedalam beberapa meter itu. selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2km dan selebar 4.8km. sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

terdahulu sebelum saintis berjaya membuktikan mukjizat nabi Musa itu adalah benar, pada tahun 1988 seorang ahli arkeologi bernama Ron Wyatt mendakwa beliau telah menemui beberapa bangkai roda kereta kuda kuno beserta tulang manusia dan tulang kuda di dasar Laut Merah yang mungkin milik Firaun dan bala tenteranya yang tenggelam di lautan sewaktu mengejar nabi Musa bersama para pengikutnya.

bukti penemuan itu diperkuatkan lagi apabila hasil ujian dan kajian yang dilakukan oleh Stockholm University terhadap struktur dan kandungan beberapa sisa tulang temulang tersebut menunjukkan bahawa ia telah berusia sekitar 3500 tahun silam iaitu sewaktu dengan sejarah kejadian nabi Musa membelah laut.

pasukan arkeologi terbabit juga menemui sesuatu yang amat menarik iaitu poros roda dari salah satu kereta kuda itu secara keseluruhannya telah tertutup oleh batu karang, sehingga bentuk aslinya sangat sukar dilihat secara jelas hingga kini. malah salah satu di antara beberapa bangkai kereta kuda itu memiliki sebuah roda dengan 4 jerijinya diperbuat daripada emas. mungkin inilah sisa dari roda kereta kuda yang ditunggangi oleh raja Firaun!



jika berpandukan peta geografi kini, bulatan merah yang ditandakan itu adalah lokasi di mana sejarah nabi Musa bersama pengikutnya menyeberangi laut Merah iaitu di Teluk Aqaba di Nuweiba. kedalaman maksimum sekitar perairan ini ialah 800m ke arah Mesir dan 900m ke arah Arab. manakala dari arah utara dan selatan lintasan penyeberangan (garis merah) kedalamannya mencapai 1500m. kecondongan aras laut dari Nuweiba ke arah Teluk Aqaba adalah sekitar 4darjah, dan dari Teluk Nuweiba ke arah daratan Arab pula ialah sekitar 6darjah.

dengan andaian jarak antara Nuweiba ke Arab sekitar 1800m dan lebar belahan laut Merah yang kira-kira 900m, berapakah daya kekuatan alam yang diperlukan bagi membelah air laut tersebut serta bertahan untuk waktu yang cukup lama bagi membuka laluan nabi Musa serta ribuan pengikutnya itu?(ada sumber menyatakan jaraknya mencapai 7 km, dengan jumlah pengikut Nabi Musa sekitar 600ribu orang dan waktu yang ditempuh untuk menyeberang sekitar 4 jam).

menurut logik fizik, daya diperlukan adalah sebesar 2.8j Newton/m2 atau setara dengan tekanan yang diterima jika menyelam di kedalaman 280m. manakala kelajuan angin pula mestilah sekurang-kurangnya 108 km/jam sepanjang malam untuk dapat membelah dan mempertahankan belahan air laut tersebut dalam jangka waktu 4 jam! dan teori itu kini telah dibuktikan oleh saintis dan diumumkan pada September 2010..

ini membuktikan bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan mukjizat yang diperturunkan kepada rasul pilihan-Nya adalah benar belaka walau sukar dibuktikan dengan akal fikiran. mungkin kita tidak berapa jelas dengan teori sains yang rumit seperti kisah sejarah nabi Musa ini, tapi mungkin peristiwa tsunami yang berlaku di Acheh beberapa tahun lalu serta masih jelas diingatan boleh dijadikan contoh serta iktibar bahawa tiada apa yang mustahil boleh berlaku dalam sekelip mata..wallahualam..

KHUTBAH RASULULLAH SAW TENTANG DAJJAL

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.


“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”

“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.”
Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”

Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.

“Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.”

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu.

Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Saya menjawab: “Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya.”
Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.”

Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.”
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu.”

Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita. Wallahu A'lam.

Penawar


Kehidupan sebagai manusia tidak dapat dielakkan dari ditimpa pelbagai sakit dan penyakit, ada yang bersifat kejiwaan, pemikiran dan juga tentunya fizikal. Kesakitan fizikal boleh mengganggu prestasi fizikal. Namun agak terhad kepada dirinya sahaja. Lebih merbahaya, penyakit jiwa, dimana kejahatannya boleh menimpa kepada orang lain dan persekitarannya. 
Di dalam kejahilan umat Islam hari ini, agak dukacita melihat bomoh dan perawatan jampi dengan bacaan pelik, menurun, tangkal hikmah yang tidak tahu apa isinya kerap menjadi pilihan. Kononnya sebagai ikhtiyar, malangnya tidak disedari tindakan bertemu bomoh dan perawat sedemikian dengan mudah membawa syirik.
Jika di dalam rumah dan pejabat kita sering ada first aid kit yang boleh dimanfaatkan ketika terdapat kemalangan dan pesakit di sekeliling. Dalam tulisan ini ringkas ini, saya sertakan beberapa rawatan awal yang boleh kita selaku Muslim yang mukmin lakukan kepada pasangan, anak dan diri kita apabila ditimpa pelbagai jenis kesakitan. Namun jangan dilupa, bertemu doktor itu PERLU.
Bacalah doa-doa ini semasa menghadapi sakit fizikal, moga ia juga berkesan untuk ketenangan mental dan iman kita. Doanya berwarna BIRU dan selebihnya yakinilah kuasa Allah yang mengawal seluruh alam dan makhluk, Maha Penyembuh.
Sebenarnya banyak lagi ayat Al-Quran dan doa dari hadis yang boleh dibaca, namuan untuk tidak membebankan pemikiran pembaca, cukuplah kita memilih beberapa terlebih dahulu. 
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا اشتكى منا إنسان مسحه بيمينه ثم قال اِذْهَبِ البَأْسَ رَبَّ النَّاسِ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لاَ شِفَاءً إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَماً
Ertinya : Nabi s.a.w ketika didatangi aduan (sakit) oleh seseorang, nabi akan menyapunya dengan tangan kanan baginda sambil membaca " Jauhkanlah dia dari kesakitan, wahai Tuhan sekalian manusia, sembuhkanlah dia, dan engkaulah maha penyembuh yang tidak akan datang kesembuhan kecuali datang dariMu, kesembuhan dari jenis yang tidak akan kembali penyakitnya"( Riwayat Muslim)
)كان النبي صلى الله عليه وسلم يعوذ الحسن والحسين ويقول : إن أباكما كان يعوذ بها إسماعيل وإٍسحاق أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطاَنٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّة (رواه البخاري
Ertinya : Nabi s.a.w ketika sedang meminta perlindungan untuk Al-Hasan dan Al-Husain berkata : Sesungguhnya kedua-dua ibu bapamu meminta perlindungan dengan (bacaan) yang dibuat oleh Nabi Ismail dan Ishak iaitu : "Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna, daripada setiap Syaitan dan mahkluk berbisa dan dari setiap pandangan mata dengki & hasad yang berniat jahat" ( Riwayat Al-Bukhari)
أن جبرائيل أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال يا محمد اشتكيت ؟ قال نعم , قال : بِسْمِ اللهِ أُرْقِيْكَ مِنْ كُلِّ شَيْئٍ يُؤْذِيْكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْعَيْنٍ أَوْ حَاسِدٍ , اللهُ يُشْفِيْكَ بِسْمِ اللهِ أُرْقِيْكَ
Ertinya : Telah datang Jibrail kepada nabi sa.w dan berkata : Wahai Muhammad, adakah kamu mengadu kerana sakit? . Jawab Nabi " Ya". Jibrail membalas " Bacalah "Dengan nama Allah yang mengubatimu, dari segala perkara yang menyakitimu, dan juga dari kejahatan setiap jiwa,mata dan hasad. Allah akan menyembuhkanya dan dengan namaNya engkau disembuhkan" 


Baca tujuh kali dengan tangan diletak di tempat sakit , kemudian baca Bismillah tiga kali dan terus baca doa berwarna biru :
أنه شكا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم وجعا يجده في جسده منذ أسلم فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم ضع يدك على الذي تألم من جسدك وقل باسم الله ثلاثا , وقل سبع مرات : أَعُوذُ بِاللهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ 
Ertinya : Seorang sahabat datang mengadu kepada Nabi berkenaan kesakaitan yang terdapat ditubuhnya sejak dari ia masuk Islam, lalu nabi mengajarkan berkata : " Letakkan tanganmu ditempat yang kamu merasai sakit itu dan bacalah Bismillah tiga kali dan kemudian bacalah tujuh kali : " Aku berlindung dengan kuasa Allah dari segala kejahatan  yang telah menimpaku dan yang aku ingin hindari. ( Riwayat Muslim)
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من عاد مريضا لم يحضر اجله فقال عنده سبع مرارٍ أَسْأَلُ اللهَ العَظِيْمَ رَبَّ العَرْشِ العَظِيْمِ أَنْ يُشْفِيَكَ إلا عافاه الله من ذلك المرض
Ertinya : Nabi telah berkata " Barangsiapa melawat orang yang sakit yang belum kelihatan akan tiba ajalnya (sakit yang dikira boleh sembuh), bacalah di sisinya tujuh kali : " Aku memohon kepada Allah yang maha agung, tuhan bagi arasy yang agung agar menyembuhkanmu". Tiadalah dibacakah itu kecuali akan disembuhkan dengan izin Allah dari sakit tersebut. ( At-Tirmidzi : hadis Sohih)


Imam Ibn Qayyim berkata “dari kaedah pelindung dan penyembuh dari hasad mata dan yang sepertinya adalah membaca dau Qul ( Surah An-Naas dan Al-Al-Falaq) dan Al-fatihah, ayat Kursi dan lain-lain doa dari hadis nabi” iaitu antaranya seperti di atas.  (At-Tibb al-Nabawi, hlm 168)
Semoga sakit yang dideritai beransur sembuh. Termasuklah penyakit malas solat, panas baran, ketagih porno dan sebagainya. Cubalah amalkan doa-doa di atas juga.
  أعوذ بكلمات الله التامة التى لايجاوزهن بر ولا فاجر من شر ما ينزل من السماء، ومن شر مايعرج فيها، ومن شر ما ذرأ فى الأرض،ومن شر مايخرج منها ومن فتن الليل والنهار ، ومن شر طوارق الليل والنهار إلاطارقا يطرق بخير يارحمن (رواه الترمذى وإسناده صحيح(
2.   أعوذ بكلمات الله التامات من غضبه وعقابه ومن شر عباده ومن شر همزات الشياطين وأن يحضرون  (أخرجه وحسنه الألبانى(
3.   حسبى الله لاإله إلا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم (سبع مرات ) (رواه أبوداود(
4.   بسم الله الذى لايضر مع اسمه شىء فى الأرض ولا فى السماء وهو السميع العليم  (ثلاثا) (رواه أبوداود وهو حديث صحيح(

Tuesday, February 1, 2011

RASULULLAH SEBAGAI PENGAJARAN


KISAH RASULULLAH SEBAGAI PENGAJARAN
Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu
menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan
keluarga mahupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di
masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya
untuk membantu isterinya di dapur.
Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu
membantu urusan rumahtangga.

Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat
berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai
sembahyang."

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu
itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah
pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi
bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan
mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan')
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai
Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari
ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul
isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas
soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala.
Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak
bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w. "Aku menanyakan mengapa engkau
memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan
lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda
dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan
kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,
pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar
sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi
pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina
Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya
setelah selesai bersembahyang,

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah
tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah...
mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah
sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin tuan sedang sakit..." desak
Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat
amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain
yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah
yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan,
kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan
lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan
demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila
aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan
ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang
kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat
kelak."

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua
yang penuh kudis, miskin dan kotor.

Hanya diam dan bersabar bila kain
rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas
merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat
yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut
perbuatan itu.

Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah
sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ketuanan.

Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab
untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam
keseorangan.

Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk
baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari,
terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya
sudah bengkak-bengkak.

Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan
jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah,
bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah
begini?" Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini
hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang
bersyukur."

Rasulullah s. a. w. bersabda, "SAMPAIKANLAH PESANKU WALAUPUN SEPOTONG AYAT…."
Sekian buat tatapan semua

Manusia Ditimpa Bencana


Mengapa Manusia Ditimpa Bencana?
Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu:
1. Apabila harta yang dirampas (daripada peperangan) diagih-agihkan kepada orang-orang yang tertentu sahaja.
2. Apabila zakat dikeluarkan kerana penebus kesalahan (terpaksa).
3. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
4. Apabila suami terlalu mentaati isteri.
5. Apabila anak-anak menderhakai ibu bapa masing-masing.
6. Apabila seseorang lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
7. Apabila kedengaran banyak bunyi bising.
8. Apabila lebih ramai berbicara mengenai hak keduniaan di dalam masjid.
9. Apabila sesuatu kaum itu terdiri daripada orang yang dihina oleh mereka.
10. Apabila memuliakan seseorang kerana takutkan tindakan buruknya.
11. Apabila arak menjadi minuman biasa.
12. Apabila lelaki memakai sutera.
13. Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki.
14. Apabila wanita memainkan alat-alat muzik.
15. Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu, maka pada saat itu tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin merah (puting beliung) atau gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman yang tidak menjadi. 

Seandainya kita sama-sama merenungi hadis di atas, tidak dapat tidak kita akan menerima hakikat bahawa bencana yang menimpa sesuatu kaum itu adalah berpunca daripada perbuatan mereka sendiri. Oleh itu, kembali kepada yang dituntut oleh Islam, semoga kehidupan kita akan dirahmati keamanan dari dunia hingga ke akhirat.